KPDN bakal laksana Kempen “Kurang Gula, Kurang Harga”

Oleh: Sholina Osman
20 JULAI 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan Kempen “Kurang Gula, Kurang Harga” tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kempen ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.

Berikutan itu, sebagai langkah proaktif, KPDN telah mengadakan satu sesi libat urus dengan pihak industri bagi merangka Kempen “Kurang Gula, Kurang Harga”.

Beliau berkata, ia penting bagi mencapai kata sepakat supaya kempen pencegahan dan pengawalan penyakit berkaitan pemakanan ini berjalan lancar.

SESI LIBAT URUS

Beliau berkata, sesi libat urus secara bersama ini melibatkan Persatuan Restoran dan wakil industri.

“Antaranya termasuk Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietor’s General Association (MSCSPGA), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Sahabat Tomyam Prihatin, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) dan Federation of Malaysian Business Associations (FMBA),” katanya dalam kenyataan media.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Fuziah berkata, KPDN amat prihatin terhadap laporan yang terkandung dalam National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 yang mendapati satu daripada enam orang dewasa atau 15.6 peratus daripada populasi orang dewasa di negara ini didiagnoskan sebagai penghidap penyakit diabetis.

Malah katanya, dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati 50.1 peratus populasi dewasa di Malaysia dilaporkan mengalami berat badan berlebihan iaitu 30.4 peratus atau obes (19.7 peratus).

MENANGANI MASALAH KESIHATAN

Justeru itu katanya, KPDN mengiktiraf dan mendukung sepenuhnya usaha yang dipelopori oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu kesihatan rakyat melalui pencegahan dan pengawalan penyakit berkaitan pemakanan.

“Statistik yang diterbitkan dalam tahun 2021 menunjukkan rakyat Malaysia mengambil 26 sudu teh gula sehari,” katanya.

Beliau berkata, jumlah ini 80 peratus lebih tinggi dari saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mencadangkan individu dewasa mengambil enam sudu teh gula sehari.

“Kajian juga menunjukkan salah satu faktor yang mendorong penggunaan gula berlebihan oleh rakyat Malaysia disebabkan harga runcit di Malaysia yang paling rendah di negara Asean, lebih rendah dari Negara Thailand yang merupakan pengeluar dan pengeksport gula dunia,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *