20 pelajar Kolej Komuniti Padang Terap sertai program Pensijilan Profesional

Oleh: Sholina Osman
22 JULAI 2024

Sebanyak 20 pelajar tahun akhir Kolej Komuniti Padang Terap (KKPT), Kedah menyertai Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan Tahun 2024 – Pensijilan Networking Fundamentals.

Program ini berlangsung dari 15 hingga 17 Julai 2024 di KKPT, Kedah.

Pengarahnya, Ir. Ts. Mohd Aishamuddin Yaakob berkata, program anjuran KKPT ini juga mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Beliau berkata, tujuan program ini untuk melatih para peserta sehingga berjaya memperoleh Pensijilan Profesional yang diiktiraf dalam bidang rangkaian.

Katanya, program yang dikendalikan oleh pihak industri iaitu Nurkamal Network Sdn. Bhd. dan EnGenius Malaysia ini, melibatkan pelajar tahun akhir KKPT yang masih belum mendapat tawaran kerja.

SESUAI DENGAN KELAYAKAN

Setelah tamat program katanya, pihak industri iaitu Nurkamal Network Sdn Bhd akan menawarkan pekerjaan kepada seluruh peserta dengan gaji premium yang sesuai dengan kelayakan.

Beliau percaya, dengan kerjasama erat antara KKPT dan industri ini, akan memberi impak yang besar kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya peluang pekerjaan di dalam bidang pengajian dan mencapai sasaran gaji premium yang dicadangkan oleh pihak kementerian.

Dalam program ini juga katanya, pihak industri telah menaja lapan pensyarah KKPT untuk mendapatkan pensijilan profesional dan menyumbang peralatan teknologi rangkaian berjumlah RM15,000.00.

Katanya, kesemua pensyarah bidang teknologi maklumat (IT) ini terdiri dari Zulhana Zulkifle, Nurul Izzah Ismail, Nor Farihah Razak, Mohamad Najib Ahmad Shukri, Muhammad Irsyad Fahmi Fadhil, Norasmah Abu @ Awang, Herlina Miur Zabidin dan Saidatul Azian Mohd Hashim.

Tambah Mohd Aishamuddin, sebagai perancangan dalam masa terdekat ini, pihak KKPT akan memfokus kepada perlaksanaan “Industry on Campus” (IOC) dengan kerjasama pihak EnGenius Malaysia untuk menubuhkan EnGenius Academy di kampus KKPT.

MEMPUNYAI SIJIL PROFESIONAL

“Ia selaras dengan hasrat, setiap graduan KKPT akan mempunyai sijil profesional sebagai persiapan dan terus releven ke alam kerjaya,” katanya.

Sementara itu Mohd Aishamuddin juga telah menyempurnakan majlis Penyampaian Sijil Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan ini di Dewan Persidangan KKPT.

Turut hadir wakil NurKamal Network Sdn Bhd, Abdul Malek Khatar Ismail dan Country Manager EnGenius Malaysia,
Goh Tze Ping.

Sementara itu salah seorang pelajar yang ditemui, Maftuhah Mohd Maliki, 21 menyifatkan program ini banyak memberikan manfaat kepada dirinya.

Perkara ini disokong oleh Muhammad Syakir Mohamad Tajudin, 20 yang mengakui sangat bertuah setelah terpilih bagi menyertai program ini.

Kedua pelajar ini berharap selepas ini akan dapat menimba lebih banyak pengalaman apabila diberi peluang berkerja di syarikat berkenaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *