Oleh: Sholina Osman
18 JULAI 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, menjadi tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan bahawa wang cukai rakyat digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota.
“Perlu diingatkan bahawa hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Penjelasan ini merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Khalid Samad yang memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL dapat disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Walaubagaimanapun katanya, DBKL sentiasa bersedia membantu.
SUKAN BOLA SEPAK
“Saya benar-benar menghargai usaha-usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Dr. Zaliha juga melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan yang cemerlang bagi pasukan KL City FC.
“Selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKL, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang obligasi untuk DBKL menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada KLFA dan KL City FC, walaupun ianya merupakan amalan kebiasaan sebelum ini,” katanya.
Beliau menjelaskan KLFA dan KL City FC adalah merupakan badan yang berdiri dengan sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas. – JM