Syabas Speaker , kesucian Parlimen Malaysia mesti terus dipelihara

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

19 Julai 2024

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat bermula semalam (18 Julai).

Ketua Pemuda Bersatu itu digantung selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datok Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul terhadapnya.

Wan Ahmad Fayhsal digantung susulan tindakannya membawa kandungan sepucuk surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) semasa perbahasan pada 1 Julai lalu.

MEMBERI KESAN BURUK

Ketika mengemukakan usul tersebut, Azalina berkata rujukan Wan Fayhsal kepada surat itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu (yang didakwa sebagai dalang) tetapi juga kepada pegawai kerajaan yang mungkin terjejas secara tidak adil oleh dakwaan yang tidak berasas itu.

Usul tersebut kemudian dibahaskan oleh seorang Ahli Parlimen dari setiap blok sebelum diluluskan melalui undi blok dengan 100 menyokong, 63 menentang, dan tiga berkecuali, manakala 46 tidak hadir.

Ketegasan kerajaan dalam membawa usul berkenaan hendaklah dipuji dan diberi sanjungan.

Ini kerana kandungan surat layang tiada kebenaran, malah mungkin penuh dengan fitnah serta tuduhan yang jahat.

Orang yang dituduh dan dikaitkan dengan tuduhan tersebut tidak mampu mempertahankan dirinya kerana dia tidak berada di dalam Parlimen.

Dengan itu, memburukkan seseorang yang lain, dalam kes ini seorang pegawai tinggi di KWSP, dengan tuduhan yang tidak disahkan dan dalam keadaan orang berkenaan tiada ruang mempertahankan dirinya, adalah suatu perbuatan yang boleh dianggap zalim.

Meski dituduh dengan tuduhan yang berat, oleh kerana ia dibacakan di dalam Parlimen, orang berkenaan tidak boleh mengambil tindakan saman kerana Ahli Parlimen dilindungi oleh imuniti Parlimen.

Jika surat layang boleh dibenarkan atau diterima sebagai asas berbahas di Parlimen, maka akan rosaklah semua institusi dan masyarakat kerana sudah pasti beribu-ribu surat layang akan bertebaran sebagai sandaran perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Di sinilah asas mengapa kerajaan mengusulkan tindakan penggantungan kepada Ahli Parlimen Machang tersebut.

Dengan itu, syabas dan tahniah kepada kerajaan melalui Azalina yang membentangkan usul tersebut serta syabas dan tahniah juga kepada Speaker Parlimen, Johari Abdul yang membuat keputusan penggantungan enam bulan tersebut.

Tindakan tegas ini amat wajar supaya ahli Parlimen tidak salah guna ‘kekebalan’ mereka.

Semoga Parlimen Malaysia sentiasa dipelihara kesuciannya supaya terus disegani serta dihormati seluruh rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusaterangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *