Nur Farah Kartini – Satu lagi episod kekejaman terhadap wanita

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

18 Julai 2024

Tragedi pembunuhan terhadap Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah graduan pintar yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Universiti Sultan Idris (UPSI) yang mayatnya ditemui dalam parit di kawasan ladang kelapa sawit amat meruntun hati.

Mayat gadis yang berasal dari Sarawak itu dibiarkan mereput dalam parit tersebut di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor sehinggalah ditemui kira-kira 6 petang pada Isnin lalu.

Satu lagi kisah – berita yang bermula daripada laporan kehilangan berakhir dengan kematian yang amat ngeri.

PENGAKHIR YANG SEDIH

Sebagai ibu yang memiliki anak perempuan yang sebaya dengan arwah Nur Farah Kartini , sukar untuk penulis bernafas tenang selepas mengetahui pengakhir hidup gadis rupawan ini.

Tanpa sedar sewaktu menulis catatan ini pun terasa air mata bertakung menanti masa untuk membasahi pipi.

Terbayang wajah arwah Nur Farah yang ceria, manis , cergas bergaya.

Foto-foto dan video wajah-wajah arwah Nur Farah tersebar luas hingga berkesan di minda dan jiwa penulis .

Nyawanya diragut dengan rakus, sadis serta zalim.

Terkini – diberitakan ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini telah pun menuntut jenazah beliau di Hospital Sungai Buloh , Selangor.

Jenazah arwah disolatkan terlebih dahulu di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung , Selangor.

Seperti kata abang -arwah Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun, jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis , Betan, Pekan , Pahang.

Penghujung kisah arwah bukan
sahaja penulis yang amat terkesan pastinya rata-rata yang membaca berita gadis ini tersentuh hati tentang nasib malang yang menimpa dirinya.

Arwah Nur Farah Kartini, 25 tahun telah dilaporkan hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya.

SUSPEK SEORANG LELAKI

Susulan penemuan mayatnya yang reput di wajah dan dada, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim, Perak.

Suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh arwah Nur Farah Kartini.

Pelbagai laporan disiarkan di media mengenai pembunuhan itu termasuk arwah Nur Farah Kartini dikatakan menjalin hubungan dengan suspek sebagai teman lelakinya yang sudah pun berumahtangga.

Ada juga yang mendakwa suspek mencekik Nur Farah sehingga kehabisan nafas lantaran rasa panik dan marah kerana teman wanitanya itu dikatakan mengugut untuk memberitahu isterinya tentang hubungan mereka jika enggan berkahwin dengannya.

Aduhai..semakin banyak berita mangsa melintasi dunia maya serta mulut ke mulut semakin meruntun hati.

Pesanan penulis – kes ini masih lagi dalam proses siasatan. Jangan menjadi penyebar fitnah.

Arwah Nur Farah Kartini sudah tiada untuk membela diri serta bercerita apa yang terjadi pada saat terakhir nyawanya diragut.

Berilah ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan adil dan mengikut tatacara serta undang-undang negara.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar arwah mendapat keadilan di dunia dan syurga tertinggi menanti beliau di akhirat.

Arwah Nur Farah Kartini adalah satu lagi episod kekejaman yang meragut nyawa seorang lagi wanita.

Semoga selepas ini marilah kita berusaha dan berdoa agar kezaliman seperti ini tidak berulang lagi.

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *