88 pelajar POLYCC dipilih sertai program R.A.R.E.

Oleh: Sholina Osman
18 JULAI 2024

Seramai 88 pelajar dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh Malaysia dipilih untuk menyertai Program Refleksi Afektif, Rasional Emosi (R.A.R.E.) Peringkat Kebangsaan
di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Program ini melibatkan 56 pelajar Politeknik dan 32 lagi dari Kolej Komuniti.

Ia dianjurkan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan kerjasama POLIMAS.

Majlis Perasmian Penutupan Program R.A.R.E. telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapannya pada majlis ini berkata, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pentingnya kesihatan mental dan juga kesejahteraan psikologi.

Beliau berkata, dengan pengetahuan ini diharap akan dapat mengurangkan stigma berkaitan dengan masalah kesihatan mental, yang sering menjadi halangan bagi individu untuk mencari bantuan dan rawatan yang diperlukan.

TENTANG STRATEGI PEMULIHAN

“Program ini juga dapat menerapkan ilmu dan pengetahuan kepada peserta tentang strategi pemulihan, pengurusan emosi dan tekanan dalam kehidupan sehari-hari,” katanya.

Selain daripada itu katanya, ia juga untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai pelbagai aspek kesihatan mental, termasuk faktor-faktor yang mempengaruhi kesejahteraan psikologi seseorang kepada pelajar.

Manakala Pengarah Program, Toh Shiang Lin berkata, ini merupakan tahun ketiga penganjuran program yang berteraskan kesihatan mental.

“Tahun ini, dengan berkonsepkan “POLYCC Cakna, Sejahtera Psikologi”, program R.A.R.E. merupakan manifestasi bahawa POLYCC mengutamakan kesejahteraan psikologi warganya serta mendukung aspirasi untuk menyediakan suatu komuniti pengajaran dan pembelajaran utuh dari sudut sokongan psikososial,” katanya.
 
Menurutnya lagi, antara input yang didedahkan kepada peserta sepanjang program ini adalah isu berkaitan dengan kesihatan mental, penerapan kemahiran asas dan teknik sokongan psikososial serta perkongsian ilmu berkenaan tips pengurusan emosi bersama komuniti.
 
Katanya, peserta juga turut dilatih untuk mempromosikan kesediaan kesukarelawan berkaitan sokongan psikososial terhadap individu di sekeliling mereka.

BELAJAR BANYAK PERKARA
 
Salah seorang pelajar yang ditemui, Aqila Najla Qistina Mohd Shukri dari Kolej Komuniti Selayang berkata, program ini adalah sangat baik kerana beliau dapat belajar banyak perkara seperti mengawal emosi, mengetahui tentang diri sendiri, dapat mengurus diri sendiri dan cara membantu orang lain mengurus emosi dengan baik.
 
Azib Syazwan Afandi pelajar dari Politeknik Ibrahim Sultan pula berkata, program yang diadakan ini sangat berkesan kerana dipenuhi dengan kaedah bagi menguruskan mental dengan baik.

Beliau berkata ini kerana ia merangkumi beberapa elemen yang dapat diterapkan dalam kehidupan iaitu pengurusan emosi dimana peluang mempelajari asas-asas emosi, mengenalpasti emosi yang dirasai dan memahami kesan serta pengaruhnya terhadap diri sendiri dan orang lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *