MPK kuatkuasa larangan guna bekas makanan stryofoam, polisterina

Oleh: Sholina Osman
15 JULAI 2024

Bertarikh 15 Julai 2024, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) melaksanakan penguatkuasaan larangan penggunaan bekas makanan stryofoam dan polisterina di seluruh Perlis.

Sekaligus semua premis kedai/gerai/penjaja peniaga makanan dan minuman dalam kawasan MPK perlu patuh di atas arahan yang telah dikuatkuasakan pada tarikh ini.

Pada 7 Jun lalu, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth telah mengumumkan notis pemberitahuan ini supaya pihak terbabit bersiap sedia sebaik arahan berkuatkuasa.

Bagaimanapun Affendi berkata, pihaknya masih memberi masa dalam tempoh seminggu atau 10 hari dari tarikh penguatkuasaan ini untuk diadvokasi.

“Jika ada yang dikesan masih gagal mengikut peraturan ini selepas tarikh itu maka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu kompaun maksimum RM500 atau denda tidak melebihi RM2,000,” katanya pada sidang media.

TINJAUAN DI KIOSK

Sebelum itu Affendi mengetuai tinjauan di kiosk dan sebuah kedai runcit di Taman Sena Indah, Kangar sempena pelaksanaan
penguatkuasaan larangan penggunaan bekas makanan stryofoam dan polisterina di semua premis kedai/gerai/penjaja peniaga makanan dan minuman dalam kawasan MPK.

“Saya mendapati semua peniaga di kiosk kawasan ini mematuhi arahan kerana tiada lagi yang menggunakan bekas makanan stryofoam dan polisterina,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap arahan ini dipatuhi oleh kira-kira 4,000 peniaga serta penjaja di negeri ini.

Affendi juga berpuas hati apabila tinjauan ke sebuah kedai runcit di kawasan ini langsung tidak menjual bekas makanan yang dilarang.

Sehubungan itu, katanya, sebaiknya semua kedai runcit mengikut larangan ini bagi memudahkan pelaksanaan penguatkuasaannya.

Katanya, jika ada peniaga yang masih berbaki bekas makanan terlarang ini masih boleh menggunakan untuk tujuan lain, tetapi bukan untuk membungkus makanan.

Beliau berkata, larangan penggunaan bekas makanan stryofoam dan polisterina
adalah untuk memelihara kesihatan rakyat Perlis dan penjagaan jangka panjang alam sekitar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *