340,637 syarikat buat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial – Armizan

Oleh: Sholina Osman
16 JULAI 2024

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial
dari 1 April hingga 14 Julai 2024.

Sehubungan itu katanya, semua syarikat diingatkan untuk mematuhi peruntukan undang-undang ini dan digalakkan untuk memanfaatkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial sebelum 30 September 2024.

“Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dengan tidak mematuhi tanggungjawab ini melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Armizan telah memulakan siri dialog bersama pemain industri sektor peruncitan selepas arahan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua Kementerian mengadakan dialog untuk mendapatkan input bagi Belanjawan 2025.

Ini meliputi empat badan gabungan iaitu Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Bumiputera Retailers Organization (BRO) dan Persatuan Pemborong Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) bertempat di Menara SSM, Kuala Lumpur.

DALAM SEKTOR PERUNCITAN

Dalam dialog ini, beliau mengingatkan syarikat-syarikat dalam sektor peruncitan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan.

“Ini termasuk mengambil perhatian dan tindakan susulan untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang terkait dengan tanggungjawab untuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisal (beneficial ownership) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab baharu berhubung kerangka pelaporan benefisial ini termaktub dalam peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bermula pada 1 April 2024 selaras dengan pindaan yang telah dibuat kepada Akta 777.

Katanya, pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan di Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024.

Armizan berkata, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.

PELBAGAI BADAN ANTARABANGSA

“Kedudukan Malaysia dalam konteks menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dinilai oleh pelbagai badan antarabangsa seperti Financial Action Task Force (FATF) bermula tahun ini sehingga tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut.

“Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusan- keputusan akhir yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut,” katanya.

Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan katanya, individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini hendaklah melaporkan status mereka kepada syarikat dan syarikat pula perlu menyimpan maklumat tersebut serta melaporkan maklumat yang sama kepada SSM. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *