Usaha PMX martabatkan Islam sentiasa konsisten

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
16 Julai 2025

Walaupun sibuk mengurus negara yang sedang berdepan pelbagai isu, ditambah dengan kekalutan politik di sana sini, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mengambil berat soal untuk memartabatkan lagi Islam di negara ini.

IMEJ PEMIMPIN ISLAM

Sesuai dengan imeinya sebagai pemimpin Islam yang dikenali ramai di seluruh dunia, Anwar ternampak mahu memanfaatkan kuasa yang dipegangnya sekarang ke arah itu.

Ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan Dan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya pagi tadi, beberapa komitmen telah ditampilkannya.

Menurut beliau, dalam konteks semasa, inisiatif pencerahan dan pemerataan isu memartabatkan perundangan wajar dilakukan merentasi kementerian sehingga peringkat akar umbi agar masyarakat mendapat kefahaman yang menyeluruh daripadanya.

Sehubungan itu, berkaitan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355, Abwar memaklumkan, usaha ini sedang berjalan dan kerangka awal pindaan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bulan depan.

“Namun saya tegaskan kepada Menteri Agama untuk memastikan pindaan RUU355 ini dilaksanakan secara terperinci dengan mendapatkan sebanyak mungkin pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk pakar perundangan syariah antarabangsa serta pakar perundangan sivil.

“Ini bagi memastikan pindaan RUU355 menjadi satu dokumen yang kukuh dan disepakati semua negeri, mufti, ulama, pimpinan serta pengamal undang-undang tatkala ia dibawa ke Parlimen nanti, sekali gus menjadi contoh terbaik dalam pelaksanaan usaha memartabatkan undang-undang Islam di negara ini,” ujarnya.

Di samping itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan juga menghargai peranan institusi Mahkamah Syariah.

Oleh itu, tambahnya, beliau terbuka kepada cadangan bagi mewujudkan Akta Saraan yang merangkumi Hakim-hakim Syarie m untuk pertimbangan Kerajaan.

Dengan masa berlalu, percayalah, lebih banyak lagi perkara berkaitan Islam mampu dilaksanakan Anwar untuk negara kita ini.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *