Oleh: Sholina Osman
14 JULAI 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan Pra-Pelancaran dua inisiatif terkini sektor swasta di bawah inisiatif Ihsan Rahmah Madani (IRM), iaitu program Ihsan Cashback dan i-Mesra.
Ia dilancarkan sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 dari 12 hingga 14 Julai di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program-program ini direka khas untuk membantu rakyat Malaysia mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan daya saing peniaga tempatan.
Beliau berkata, Ihsan Cashback adalah program cashback ‘e-Wallet’ yang memberi pulangan wang atas pembelian melalui rangkaian rakan kongsi.
MENINGKATKAN DAYA BELI
“Matlamatnya untuk membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan, meningkatkan daya beli dalam ekonomi Malaysia dan mengekalkan sokongan kepada peniaga tempatan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, antara ciri-ciri penting termasuk pendaftaran mudah, rangkaian luas, proses penebusan ganjaran yang fleksibel, penebusan saluran silang untuk pelbagai perkhidmatan di Malaysia serta sektor makanan dan minuman.
“Sistem i-Mesra pula merupakan platform pengurusan perniagaan digital yang membantu pengusaha perkhidmatan makanan dalam mengurus inventori, memberi rujukan bahan ramuan menyeluruh kepada pengguna, pengurusan kewangan, pemasaran, proses pengesahan digital, perlindungan liabiliti dan keuntungan bersama pihak Halal Development Corporation & Mimos Bhd.,” katanya.
Armizan berkata, program ini ditujukan untuk menyokong perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.
PENGGUNA DAN PENIAGA
Tambahnya, kedua-dua inisiatif ini iaitu Ihsan Cashback dan i-Mesra diharapkan memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga bagi semua sektor dan perkhidmatan di Malaysia.
Katanya, bagi sektor makanan dan minuman yang menggunakan platform i-Mesra boleh menawarkan promosi khas atau cashback kepada pengguna yang menggunakan Ihsan Cashback.
Beliau berkata, ia dijangka dapat meningkatkan daya tarikan perniagaan mereka.
Malah katanya, gabungan dua inisiatif ini diharapkan dapat membantu pengguna mengurangkan beban kos sara hidup ketika berbelanja harian dan seterusnya merangsang peniaga tempatan untuk memperluaskan pasaran mereka selaras dengan insiatif KPDN di bawah ’Kempen Beli Barangan Malaysia’. – JM