Oleh: Sholina Osman
12 JULAI 2024
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 bakal menyantuni 37,550 buah tempat kediaman terpilih di seluruh Malaysia mulai 15 Julai sehingga 31 Disember 2024.
KPKM-6 ini akan dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang merupakan agensi di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Mengikut siaran media Unit Komunikasi Korporat KPWKM, kajian berskala besar dan bersifat nasional ini adalah bagi menyediakan data terkini dan siri masa berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta sosio-ekonomi penduduk Malaysia.
“Ia akan menjadi sebagai input dan “evidence” kepada pihak Kerajaan dalam pembangunan dasar, inisiatif dan program di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Sekaligus ia bertepatan dengan slogan KPKM-6 iaitu “Suara Keluarga, Masa Depan Negara”.
LIMA KATEGORI RESPONDEN
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri pada Majlis Pelancaran KPKM-6 berkata,
terdapat lima kategori responden yang disasarkan dalam kajian ini.
i. Wanita pernah berkahwin berumur 15 – 59 tahun;
ii. Lelaki pernah berkahwin berumur 15 – 59 tahun;
iii. Remaja belum pernah berkahwin berumur 13 – 24 tahun;
iv. Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; dan
v. Penduduk bujang berumur 25 – 59 tahun.
Nancy menyeru seluruh ahli keluarga terpilih supaya memberi kerjasama yang baik kepada penemu bual.
“Jadikan KPKM-6 ini sebagai platform perkongsian maklumat serta pandangan untuk dijadikan sumber data bagi pelaksanaan sebarang tindakan oleh pihak berautoriti termasuk pembangunan dasar, inisiatif dan program untuk pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, keperluan data kajian ini dilihat simbolik dan selari dengan tema sambutan Hari Penduduk Sedunia 2024 iaitu “Kuasa data yang inklusif ke arah masa depan yang berdaya tahan dan saksama untuk semua”.
Sebagai langkah keselamatan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kajian ini di laman sesawang LPPKN www.lppkn.gov.my atau portal rasmi kajian kpkm6.lppkn.gov.my serta media sosial LPPKN. – JM