Oleh: Sholina Osman
10 JULAI 2024
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) Perlis, Muhammad Irfan Azhar akhirnya memilih Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPS) bagi meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.
Ini bertepatan dengan hasratnya sejak awal lagi yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang agama sebagai memenuhi impiannya untuk bergelar sebagai pensyarah suatu hari nanti.
Berikutan itu, Timbalan Rektor Akademik KUIPs, Prof Madya Dr Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli telah berkunjung ke rumah Muhammad Irfan, 18 di Kampung Kepala 10, Long Boh, Tambun Tulang, Arau, Perlis.
Kedatangan Abdul Basir bersama beberapa kakitangan KUIPs disambut mesra oleh Muhammad Irfan, ayah dan ibunya.
SURAT TAWARAN PENGAJIAN
Semasa pertemuan itu, Abdul Basir juga menyerahkan surat tawaran pengajian dan Biasiswa Pengajian Tinggi MAIPs-KUIPs (BPTM).
Beliau turut memaklumkan bahawa Muhammad Irfan akan mendapat tajaan penuh oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang merangkumi yuran pendaftaran dan juga pengajian.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad ini telah memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan al-Quran dan Sunnah, (A) bagi mata pelajaran Sejarah, Matematik, Sains, Ekonomi serta Pendidikan Syariah Islamiah selain A- bagi subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab pada SPM lalu.
Anak petani ini yang juga mengambil upah melakukan kerja-kerja di bendang bersama bapanya Azhar Sabu, 49, bersyukur kerana diterima melanjutkan pengajian di KUIPs.
MEMBUAT PILIHAN TEPAT
“Saya yakin telah membuat membuat pilihan yang tepat dan restu ibu bapa juga adalah pendorong utama mengapa saya memilih KUIPs,” katanya.
Muhammad Irfan berharap KUIPs adalah pembuka jalan yang terbaik untuknya mencapai apa yang dicitakan selama ini.
Sementara itu bapanya Azhar Sabu, 49, yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 berkata, pilihan yang dilakukan anaknya adalah tepat kerana KUIPs bukan sahaja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kebanggaan rakyat Perlis malah membantu keluarganya yang kurang berkemampuan.
“Tidak perlu pergi jauh kerana peluang melanjutkan pengajian itu sudah ada di dalam negeri sendiri sekaligus menjimatkan kos pengangkutan, menyewa rumah dan sebagainya,” katanya.
Beliau terharu kerana dengan pembiayaan sepenuhnya oleh MAIPs maka ini akan membolehkan anaknya memfokus sepenuhnya terhadap pengajiannya di KUIPs nanti. – JM