Oleh: Sholina Osman
10 JULAI 2024
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah muncul sebagai naib juara Malaysian Polytechnic Territorial Amy Annual Camp (MALPTAAC) Siri 15/2024.
Pertandingan ini telah berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Arau, Perlis.
Dengan kemenangan ini, Mejar (K) Md Nasir Md Saffar menerima cenderahati pengiktirafan ini dari Pengarah Bahagian Kurikulum, Dr. Zamzam Mohd Walid pada majlis di Dewan Harumanis, PTSS.
Mejar (K) Md Nasir berkata, beliau bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan ini sekaligus membuktikan pelajar POLIMAS akan berjaya dalam apa juga pertandingan yang disertai jika bertekad dan berusaha serta sentiasa berdisiplin dalam usaha untuk mencapai kejayaan.
Menurut beliau lagi, sekalipun mata yang dikumpulkan oleh POLIMAS dan Politeknik Ungku Umar (PUO) adalah sama tetapi tetapi PUO mendapat kelebihan kerana telah memenangi acara utama iaitu Ujian Jalan Laju.
MERAMPAS KEMBALI PIALA
“Insyaallah pasukan dari POLIMAS berazam untuk merampas kembali piala kejuaraan untuk pertandingan sesi akan datang,” katanya.
MALPTAAC Siri 15/2024 yang diadakan ini melibatkan latihan bersama kereta perisai, senjata bantuan dan pasukan artileri.
Program ini memberi pendedahan betapa sukarnya mengendalikan aset seperti kereta perisai dan strategi dalam mengatur dan melaksanakan serangan.
Pelatih juga menjalani pelbagai aktiviti seperti ujian jalan laju, merentas desa dan latihan di medan tempur.
MEMBINA KEMAHIRAN INSANI
Selain itu mereka juga dilatih membina kemahiran insani mereka seperti kepimpinan, ketepatan waktu dan membuat keputusan bijak dalam keadaan terdesak.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah telah berkenaan melakukan majlis Perasmian Penutupan MALPTAAC Siri 15/2024 di Ladang Kenaf, Chuping, Perlis.
Sebanyak 16 buah politeknik telah terlibat dengan kekuatan 29 pegawai dan 609 anggota yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar.
Selain itu, ia juga melibatkan penyertaan dari Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) dan Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat, Kementerian Pertahanan.
MALPTAAC Siri 15 ini telah berlangsung bermula 26 Jun lepas ini telah melibatkan pelbagai aktiviti antaranya ujian jalan laju, menembak, merentas desa dan latihan di medan tempur. – JM