Oleh: Sholina Osman
9 JULAI 2024
Sebanyak 75 Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di Perak dan empat daripadanya ialah NADI baharu yang dibina di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI sehingga 30 Jun 2024.
Dalam kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyebut, inisiatif Perkhidmatan Pintar ini ialah hasil daripada Persidangan Pusat Ekonomi Digital MADANI yang telah dianjurkan pada 29 November 2023.
Malah perkhidmatan digital ini telah disediakan di semua NADI seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan NADI di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi yang mewakili Menteri Besar Perak; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan wakil-wakil syarikat penyedia perkhidmatan.
KESEJAHTERAAN MASYARAKAT SETEMPAT
Pelancaran perkhidmatan ini bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat setempat bahkan membantu meningkatkan taraf hidup.
Program-program sedia ada di NADI telah disusun semula oleh MCMC dan dijalankan berpandukan kepada lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
Penyusunan ini bagi memperkasakan masyarakat selain memastikan capaian dan peluang sama rata untuk memenuhi keperluan khusus masyarakat setempat.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan fungsi NADI yang kini memfokuskan penyediaan capaian Internet secara kolektif, sebagai pusat penyebaran maklumat terkini dan tepat terutamanya bagi inisiatif kerajaan serta manfaatnya untuk rakyat. – JM