Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK Sungai Bakap)
8 Julai 2024
Move on ..jangan biarkan luka kecil kekalahan Cikgu Joohari Ariffin di Sungai Bakap membunuh jiwa kita untuk meneruskan perjuangan.
Pertembung di Sungai Bakap hanya salah satu episod dalam siri-siri PRK yang kita harungi.
Mengulas kekalahan dengan mencari kesalahan ‘orang itu orang ini’..menyalahkan ‘ itu ini’ tidak akan berkesudahan.
Apatah lagi membabitkan diri dalam polimik yang mengheret jiwa untuk terus murung adalah satu tindakan yang amat tidak bijak.
Seperti kata bijak pandai –
‘ Kekalahan itu tidak memalukan, yang memalukan itu adalah menyerah kalah serta putus asa ‘
Ayuh ..mari kita bangkit menjadikan Sungai Bakap sebagai sebagai ‘azimat’ menguatkan semangat untuk terus mara.
Kata-kata
semangat PMX Datok Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah harus menjadi tangkal perjuangan yang kental.
Jangan terikut-ikut dengan rentak banyak pihak yang lebih cenderung menyalahkan kerajaan atas kekalahan tersebut.
Berhati-hatilah dengan pandangan atau ulasan yang mahu mengelirukan prinsip perjuangan kita.
Sebahagian pandangan tersebut mungkin betul, tetapi sebahagian yang lain terlihat lebih berbaur emosi dan tidak menepati fakta.
PMX SENTIASA POSITIF
Tetapi sebagai kerajaan, apa yang terpuji dalam hal ini ialah sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup positif dan merendah diri terhadap pilihan rakyat.
Dalam kedudukan menerajui parti yang mengetuai kerajaan, Anwar sedar pilihan rakyat hendaklah dihormati, walaupun tidak memihak kepada calon parti yang diterajuinya.
“Gabungan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK Sungai Bakap yang telah berlangsung dengan lancar dan aman.
“Selaku Perdana Menteri, saya dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat yang membuat pilihan ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.
“Kerajaan Madani menginsafi keputusan tersebut dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” ujar Anwar sebagai respon terhadap keputusan PRK Sungai Bakap.
MEMPERBAIKI DIRI
Dalam waktu yang sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar juga senada pendiriannya dengan Perdana Menteri.
Menurut beliau, KEADILAN menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi Sungai Bakap, sambil ingin menjadikannya sebagai ruang untuk bermuhasabah bagi memperbaiki diri.
“Kekalahan tersebut kami terima dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa.
“Kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti dalam usaha menyahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup.
“Keputusan di Sungai Bakap akan kami sahut sebagai sebuah tekad bermuhasabah dan melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik di masa depan,” ujar beliau.
Sesungguhnya sikap dan pendirian Anwar dan Nurul Izzah inilah yang harus menjadi pegangan semua warga KEADILAN bila berdepan kekalahan.
Kalah menang adalah adat pertandingan, tetapi KEADILAN tidak harus lemah setelah kalah, apa lagi menuding jari menyalahkan pihak lain.
Begitu juga bila menang, kita tidak boleh bangga dan besar diri, sebaliknya mesti kekal merendah diri.
Azimat perjuangan yang dititipkan Anwar dan Nurul Izzah ini, jika menjadi pegangan dan tersemat erat dalam jiwa, KEADILAN ini akan terus melangkah walau apa pun pancaroba yang tiba.
KEADILAN telah melalui detik yang lebih menyakitkan sebelum ini dan semuanya berjaya dihadapi dengan kecekalan serta kesabaran daripada semua kita yang masih kekal bersama parti.
Ayuh kita terus berjuang, jangan lemah dan jangan koyak hanya dengan satu kekalahan di Sungai Bakap ini.
Bangkit semula.Terus mara. Lemah semangat itu penyakit.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat