Oleh: Sholina Osman
6 JULAI 2024
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim hadir ke Sesi Libat Urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia bersempena program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Perlis di Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah, MRSM Arau, hari ini.
Kenyataan media Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyebut program ini turut dihadiri Exco Belia dan Sukan Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak dan Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perlis, Siti Hasmah Hassan.
Kembara JOM merupakan sebuah inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan JBSN.
Ia bagi membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.
BAKAL MENJADI PEMACU
Maklum balas dan pandangan yang diterima ini akan digunakan untuk memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].
Antara kandungan utama kepada pindaan Akta 668 adalah merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.
Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Selain itu antara pengisian aktiviti di bawah Kembara JOM adalah taklimat oleh ROY, aktiviti Rakan Muda dan pameran reruai oleh jabatan/ agensi kerajaan.
Pelaksanaan Kembara JOM ini juga menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan pembangunan belia seiring dengan hasrat dan aspirasi dalam kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030). – JM