(Petikan bahan/foto Nurul Izzah Anwar)
KEADILAN menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh warga Sungai Bakap.
Saya mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah memilih HARAPAN, dan tidak dilupakan pasukan jentera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) yang telah bertungkus-lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh berkempen.
Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa, serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti. Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup.
Walau apa pun, kita harus berusaha bagi membawa kembali perdebatan, penerangan serta usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu-isu pokok seperti kebajikan rakyat, pendidikan anak-anak, pembangunan infrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan seberang dan juga pulau.
Keputusan ini kami sahut sebagai sebuah tekad bermuhasabah dan melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik, Insya-Allah.
NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden KEADILAN
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang