Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua penduduk di DUN Sungai Bakap. Saya sebagai calon dari HARAPAN dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan, mempersembahkan salah satu manifesto yang saya akan usahakan sekiranya menang dalam pilihanraya kecil yang berlangsung 6 Julai ini.
- Projek infrastruktur loji rawatan air di Sungai Kerian yang akan dapat membekalkan bekalan air di sekitar daerah Kerian, Kulim-Bandar Baharu dan Seberang Perai Selatan.
Wilayah ini berhampiran dengan sempadan tiga negeri; Perak, Pulau Pinang dan Kedah, dan dijangka akan menjadi pesat dengan adanya projek Kerian Integrated Green Industrial Park (Taman Industri Hijau Bersepadu Kerian) atau dikenali dengan KIGIP, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.
Keadaan geopolitik dari krisis Amerika Syarikat dan China, telah mengakibatkan pelabur memilih ASEAN, khususnya Malaysia dalam melabur dalam sektor semikonduktor dan teknologi hijau.
Pulau Pinang yang selama ini telah menjadi pusat perindustrian untuk semikonduktor sejak 1970an, kini semakin pesat menerima pelaburan dalam sektor berteknologi ini.
Maka pembangunan ini memerlukan lebih banyak bekalan air, iaitu sebanyak 300 juta liter sehari. Maka projek Loji Rawatan Air Sungai Kerian akan menjamin masa depan penduduk Sungai Bakap dalam keselesaan anda mendapat bekalan air.
- Selain itu, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak, negeri Perak dan Pulau Pinang bersetuju untuk membina saluran bekalan air untuk memastikan pertambahan penduduk tidak akan mengganggu bekalan air di negeri ini.
- Projek pembinaan sambungan jalan ke Bandar Tasek Mutiara yang akan dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan lalu lintas di situ.
- Saya juga akan berusaha menaiktaraf Hospital Sungai Bakap – antaranya menambah baik wad persalinan dan pakar geriatrik untuk ibu mengandung dan warga emas.
- Saya juga beriltizam untuk menjadikan Sungai Bakap sebagai pusat pengeluaran produk mikro halal, yang akan dapat meningkatkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam mengeluarkan produk halal yang boleh dieksport di pasaran luar negara.
- Meningkatkan penyertaan usahawan wanita dalam Amanah Ikhtiar Malaysia.
- Dengan populasi warga tua yang semakin meningkat saban tahun, kerajaan MADANI prihatin dengan kehendak warga emas untuk keselesaan mereka. Sehubungan itu, saya juga beriltizam untuk mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Sungai Bakap.
Akhir kalam, saya dengan ini merendah diri berharap segala ikhtiar yang saya tawarkan buat penduduk Sungai Bakap mampu memberikan peluang kepada saya untuk berbakti di Sungai Bakap.
Terima kasih,
Dr Joohari Ariffin,
Calon Kerajaan Perpaduan untuk PRK DUN Sungai Bakap.