Oleh: Sholina Osman
4 JULAI 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati rampasan diesel telah berkurangan sebanyak 87 peratus selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, jumlah kes yang melibatkan penyelewengan minyak diesel telah menunjukkan penurunan signifikan.
Beliau berkata, bagi tempoh 20 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024, jumlah kes yang telah direkodkan sebanyak 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.
“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama daripada 40 orang kepada seorang sahaja,” katanya dalam kenyataan media.
RAMPASAN PETROL RON95
Armizan berkata, walau bagaimanapun, terdapat peningkatan bagi kes yang melibatkan rampasan petrol RON95.
Beliau berkata, ia melibatkan 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei 2024 sehingga 9 Jun 2024.
“Sebanyak 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya.
Armizan berkata, ini kerana jumlah tangkapan telah meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh yang sama.
Bagaimanapun, katanya, KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah OPS TIRIS 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan. – JM