KPDN nyahturun 225 iklan minyak masak dalam talian

Oleh: Sholina Osman
4 JULAI 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyahturun (content removal) 225 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian bagi tempoh 4 Julai 2022 hingga 30 Jun 2024.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, kegiatan ini berjaya dapat dikesan kerana pihaknya masih giat melakukan pemantauan ke atas aktiviti penipuan (scam) berkaitan penjualan minyak masak paket secara dalam talian yang dilakukan melalui laman media sosial dan tapak pasar dalam talian.

Katanya, scammer cuba memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan dengan menawarkan pada harga yang jauh lebih murah.

“Modus operandi aktiviti scam penjualan minyak masak yang dikesan oleh pihak KPDN ini apabila mereka telah memperdayakan 11 mangsa menerusi tawaran minyak masak paket dengan harga jauh lebih murah berbanding harga di pasaran,” katanya dalam kenyataan media.

LAMAN MEDIA SOSIAL

Di samping itu, katanya, scammer juga dipercayai akan “mengumpan” mangsa dengan pengiklanan mengelirukan di laman media sosial dan tapak pasar dalam talian memandangkan minyak masak paket kini mendapat permintaan yang tinggi.

Azman berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 4 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 71 pemeriksaan fizikal telah dilakukan di seluruh negara manakala sebanyak 14 aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 5 tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah disiasat ke atas pihak yang terlibat yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,796.10,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah berurusniaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah, menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan serta gagal menyelenggara buku stok barang kawalan.

Katanya, KPDN juga telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian ini dapat diatasi dengan lebih berkesan.

MEMBERIKAN AMARAN KERAS

KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada apabila melihat tawaran iklan pembelian minyak masak paket murah yang dipaparkan terutamanya secara dalam talian bagi mengelakkan daripada diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat yang lengkap dan tepat berhubung perkara berkaitan melalui saluran aduan berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *