434 surirumah miskin tegar ditaja carum SKSSR RM52,080

Oleh: Sholina Osman
4 JULAI 2024

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memperuntukkan RM52,080 bagi menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kr atas 434 orang suri rumah di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang berstatus miskin tegar dan belum pernah mencarum skim ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, mereka ini akan menerima tajaan caruman berjumlah RM120 setiap seorang bagi tahun pertama.

“Ia sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Zaliha berkata, dalam usaha memperluas perlindungan sosial kepada penjaja di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula akan menaja 10 peratus daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk tahun pertama yang melibatkan 2,095 orang penjaja dari program Lestari Niaga.

BESERTA DENGAN SYARAT

“Ia berserta dengan syarat di mana mereka (penjaja) melepasi saringan yang telah ditetapkan, iaitu mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa, tiada tunggakan kompaun DBKL dan tiada perlindungan aktif semasa dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan lebih ramai penjaja dalam program Lestari Niaga Kuala Lumpur menerima manfaat tajaan ini, mereka akan diberi ruang dan peluang untuk memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan sehingga bulan November 2024.

“Pihak DBKL turut akan meneliti kemungkinan untuk menjadikan caruman SKSPS ini sebagai syarat wajib untuk memohon lesen perniagaan pada masa akan datang,” katanya.

Dr Zaliha berkata, tajaan caruman PERKESO bagi penjaja dalam program Lestari Niaga ini juga akan turut dipanjang ke Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, Dr Zaliha juga hadir pada Majlis Penyerahan SKSPS dan SKSSR serta Pertukaran Surat Niat Kerjasama JWP dan PERKESO yang berlangsung di Pasar dan Pusat Penjaja, Jalan Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia,
Steven Sim. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *