Bingkisan Fadhlina kepada pengundi Sungai Bakap

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK Sungai Bakap)

5 Julai 2024

Sehari sebelum hari pengundian PRK Dun Sungai Bakap, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menitipkan sebuah bingkisan buat pengundi kawasan itu yang akan membuat pilihan mereka esok.

Ini merupakan usaha beliau di saat-saat akhir untuk merayu undi bagi memenangkan calon Perpaduan Cikgu Joohari Ariffin.

Menerusi bingkisan bertajuk “Warkah Buat Warga Sungai Bakap” yang dikongsikan di Facebook malam tadi, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, orang sebaik dan cerdik seperti Cikgu Joohari wajar mendapat tempat untuk menjadi pemimpin di Pulau Pinang.

“Mana mungkin seorang guru membawa watak kayangan ketika seharian bergelumang ‘memanusiakan’ dan ‘menginsankan’ insan-insan untuk terus menjadi warga yang santun dan cerdas,” kata beliau.

FADHLINA MENGHARGAI SETIAP PANDANGAN

Menurut Fadhlina, beliau menghargai setiap pandangan daripada penduduk Sungai Bakap sepanjang tempoh kempen PRK yang akan melabuhkan tirainya 11.59 malam ini.

“Tidak kira dari penduduk, jentera, pimpinan serta penjawat awam.

“Setiap aduan, permohonan serta jalinan dua hala antara rakyat dan wakil rakyat sememangnya sangat dinantikan.

“Para guru, jururawat, pasukan polis dan seluruh jajaran penjawat awam turut memberikan sisi pandang yang saya terima dengan hati terbuka.

“Pastinya tekad untuk berkhidmat dengan lebih baik ini dapat dijayakan dengan mempunyai rakan sepimpinan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan mempunyai akses untuk agensi dan pelaksana dasar di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Menteri Pendidikan itu turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang akan dikesamping dan kesejahteraan semua rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.

Menoktahkan bingkisannya, Fadhlina menitipkan serangkap pantun untuk sekali lagi menyeru pengundi Sungai Bakap agar mengundi Cikgu Joohari.

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Undilah Cikgu Joohari,
Demi kesejahteraan Sungai Bakap.

Calon PH yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Joohari akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dari Pas dalam pengundian esok bagi ditentukan pilihan sebagai Adun Sungai Bakap.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *