Delegasi Dewan Perundangan Majlis Oliy Republik Uzbekistanlawat Parlimen

Oleh: Sholina Osman
2 JULAI 2024

Yang Dipertua Dewan Perundangan Majlis Oliy Republik Uzbekistan, Dr Nuriddin Ismoilov mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 1 hingga 4 Julai 2024.

Lawatan kerja ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan baik dan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.

Dalam kenyataan media Parlimen Malaysia menyebut, lawatan kerja ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan baik dan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali.

Seterusnya beliau dan delegasi telah dijemput untuk memerhatikan sesi persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15, Dewan Rakyat yang kini sedang berlangsung.

MESYUARAT DUA HALA

Satu sesi mesyuarat dua hala antara Dr. Nuriddin Ismoilov dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersama ahli Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia bagi Asia Tengah turut diadakan.

Ia bagi membincangkan kepentingan mempergiatkan kerjasama dua hala dan aktiviti dalam bidang legislatif antara kedua-dua negara, sektor pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pertukaran mahasiswa.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan kepengerusian Parlimen Malaysia dalam AIPA pada 2025.

Dr. Nuriddin Ismoilov turut menyatakan dukungan Legislative Chamber of the Oliy Majlis terhadap hala tuju Parlimen Malaysia untuk bersama membangun rantau ASEAN yang makmur.

MENGADAKAN KUNJUNGAN HORMAT

Dr. Nuriddin Ismoilov turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini di Pejabat Ketua Majlis di Parlimen Malaysia.

Ia sebagai kesinambungan kepada lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Republik Uzbekistan pada Mei 2024 yang lalu.

Selain daripada itu, beliau dan delegasi turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Hubungan yang terjalin bukan sahaja dalam bidang ekonomi serta cabang pentadbiran Kerajaan malah meliputi cabang legislatif antara kedua-dua negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *