Oleh: Sholina Osman
2 JULAI 2024
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) melanjutkan pendaftaran ambilan Julai 2024 program Asasi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, tujuan lanjutan tarikh untuk sesi pendaftaran sehingga 5 Julai 2024 ini atas permintaan pelajar yang gagal mendapat tawaran selepas keputusan UPU yang dikeluarkan pada 28 Jun lalu.
“Kita beri peluang kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di sini untuk hadir dan mendaftar program pengajian asasi yang ditawarkan selama setahun atau tiga semester,” ujar beliau.
Katanya, selepas setahun pengajian mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang pengajian Islam dan yang berkaitan di kampus ini juga.
Dr Muhamad Rozaimi menambah selepas pengajian asasi mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian Sarjana Muda dalam Pengajian Islam, Syariah (Ekonomi), Hadith, Bahasa Al-Quran dan Sunnah, al-Quran, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengurusan Muamalat, Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Perniagaan Antarabangsa, Pentadbiran Perniagaan, Perakaunan, Sains Komputer (Sains Data) dan Pentadbiran Perniagaan mengikut terma dan syarat kelayakan.
ASASI PENGAJIAN ISLAM
Program Asasi Muamalah dan Asasi Pengajian Islam yang ditawarkan ini membolehkan mereka menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda KUIPs atau di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain tanpa perlu mengambil diploma.
KUIPs adalah institusi pendidikan milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan ditubuhkan pada 3 Mac 2013 oleh Kerajaan Persekutuan dan mempunyai empat Fakulti iaitu Pengajian Islam, Fakulti Quran Sunnah, Muammalat dan Kewangan Islam dan Perniagaan dan Sains Pengurusan.
Sepanjang pengajian di KUIPs mereka turut ditawarkan biasiswa untuk sesi Julai dan September 2024 ini.
Bagi pelajar yang ingin memohon boleh melayari link www.kuips.edu.my.
Pengajian, penginapan dan elaun sara diri juga diberi kepada mereka yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di sini. – JM