Oleh: Sholina Osman
3 JULAI 2024
Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian yang telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei 2024.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan media berkata, hasil semakan mendapati penjual beras secara dalam talian tersebut tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Selain itu, katanya, beras yang dijual itu juga dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.
“Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.
Selain itu, katanya, sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah KPB.
Jika tiada lesen barang kawalan beras maka ia menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
Di samping itu, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian juga disyaki beras yang dibawa masuk ke dalam negara ini tanpa mendapat kelulusan Kerajaan.
Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
Penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Justeru itu, katanya, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa.
KPB mengingatkan peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa.
Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. – JM