Sungai Bakap amat istimewa , pengundi tidak akan dihampakan – Cikgu Joohari

Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK N.20 Sungai Bakap)
2 Julai 2024

“Cikgu Joohari nombor satu..jom undi cikgu kami..pilih cikgu kami..’’
Begitulah kata-kata semangat yang sering dilaungkan oleh para pengundi apabila bertemu dengan Calon Perpaduan – Cikgu Joohari Ariffin yang sedang gigih berkempen pada hari-hari terakhir PRK Sungai Bakap.

Bagi calon NOMBOR I yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Joohari, tiada istilah letih apatah lagi mahu mengeluh dengan cabaran berkempen yang diharungi oleh beliau sejak dipilih sebagai calon Perpaduan di Sungai Bakap.

Yang terpancar pada wajah anak jati Sungai Bakap ini adalah semangat juang yang amat tinggi untuk terus mengalas tugas memenangi hati pengundi-pengundi di Sungai Bakap.

Mengulas mengenai perkembangan kempen dalam pertemuan bersama penulis di Sungai Bakap , Cikgu Joohari mengakui sambutan positif daripada pengundi adalah kunci utama yang menaikkan semangat beliau untuk terus mengharungi kempen sengit PRK dengan tenang serta fokus.

Alhamdulilah ..saya bersyukur diterima dengan baik oleh pengundi Sungai Bakap. Bukan sahaja golongan yang berusia malah juga anak-anak muda. Kebanyakan bekas anak-anak murid saya , rakan-rakan sekolah, bekas rakan sekerja juga sahabat handai yang mengundi di Sungai Bakap. Sehingga kini semua meluah rasa gembira serta memberi kata-kata semangat untuk saya bertanding di DUN ini. Inilah memotivasikan saya untuk terus berkempen, ‘ katanya dengan ramah.

Untuk rujukan Cikgu Joohari yang dilahirkan pada 17 Julai 1964 adalah anak jati Sungai Bakap yang juga mantan Pengarah Institusi Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU).
Beliau dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sungai Bakap kerana pernah menjadi Guru Kanan Teknik dan Vokasional Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMKA Nibong Tebal dan Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Saujana Indah Nibong Tebal.

Cikgu Joohari berazam untuk membantu sebaik mungkin para pengundi terutama membawa permasalahan mereka bagi diselesaikan

Katanya, Sungai Bakap terlalu istimewa dan banyak daya tarikan yang boleh untuk terus dimajukan demi memastikan para penduduk hidup dengan aman, selesa serta sejahtera.

Jelas beliau lagi pengundi Sungai Bakap mahukan wakil rakyat yang rajin turun padang dan boleh membantu mereka.

“In Syaa Allah jika saya dipilih saya tidak akan menghampakan pengundi Sungai Bakap. Saya akan berusaha melaksanakan amanah rakyat dengan baik ,’’ katanya.


Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *