Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRK Sungai Bakap)
2 Julai 2024
Memasuki tempoh kempen bagi minggu akhir di Sungai Bakap sebelum pengundian pada 6 Julai ini, calon Perpaduan Cikgu Joohari Ariffin terus memperhebatkan gerak kerja kempen menyantuni pengundi.
Setiap hari, tidak kurang 10 hingga 15 program beliau hadiri sambil menyantuni pengundi-pengundi Sungai Bakap.
Personaliti Cikgu Joohari yang tenang dan mesra adalah daya tarikan yang membuat pengundi semakin selesa serta boleh menerima Cikgu Joohari dengan mudah.
PENGUNDI YAKIN DENGAN CIKGU JOOHARI
Selain latar belakangnya yang pernah mengajar di beberapa sekolah di Sungai Bakap, menjadikan beliau amat dikenali termasuk bekas murid juga ibu bapa bekas pelajar tersebut.
Sehingga kini, hampir tiada isu tentang diri calon Perpaduan kecuali hal-hal yang sengaja disensasi dan diputar-belitkan.
Secara umumnya, berdasarkan penerimaan pengundi dalam kempen-kempen yang dilakukannya, mereka didapati amat senang jika mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki ini dipilih sebagai wakil rakyat mereka yang baharu.
Dalam waktu yang sama, dengan kehadiran sejumlah besar pemimpin kerajaan pusat berkempen di Sungai Bakap ini turut juga memberi kelebihan kepada Cikgu Joohari.
Pengundi lebih yakin bahawa Cikgu Joohari mampu menyelesaikan banyak masalah berkaitan mereka jika calon nombor 1 ini terpilih sebagai ADUN nanti.
SEMAKIN POSITIF
Kecenderungan pengundi juga dilihat semakin positif memilih Cikgu Joohari sebagai ADUN baharu bagi N.20 Sungai Bakap.
Berbaki lagi empat hari untuk berkempen, apa yang perlu ialah semua jentera kempen calon Perpaduan harus mengekalkan momentum sedia ada sehingga ke hari pengundian.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat