Oleh Sholina Osman
1 JULAI 2024
Sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services 999 (NG999) dilancarkan pada 1 Julai 2024 bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999).
Berikutan itu TM dan Kerajaan Malaysia hari ini memeterai perjanjian untuk mengendalikan sistem panggilan kecemasan baharu negara ini.
Menurut kenyataan media TM, perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
MENYEPADUKAN PETA DIGITAL
Sistem baharu ini akan menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan serta masa tindak balas yang menambah baik bantuan kecemasan di seluruh negara.
Bantuan kecemasan di Malaysia telah berubah secara menyeluruh seiring dengan peningkatan penggunaan peranti pintar dan mudah alih.
Pelaksanaan sistem NG999 bertaraf dunia ini bergerak selari dengan amalan terbaik antarabangsa terkini seperti European Emergency Number Association NG112 dan National Emergency Number Association NG911 di Amerika Utara.
NG999 juga bakal memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.
Teknologi ini bagi memastikan petugas kecemasan boleh membuat tindakan yang lebih pantas pada saat-saat genting.
PETUGAS BANTUAN KECEMASAN
Berdasarkan pengalaman pelbagai agensi kerajaan, penguat kuasa undang-undang, petugas bantuan kecemasan dan TM, kelebihan perkhidmatan N999 ini bukan sekadar dari aspek teknologi malah turut menekankan aspek perlindungan dan perkhidmatan untuk rakyat.
Sejajar dengan peningkatan penggunaan telefon mudah alih di negara ini, TM akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.
Inisiatif ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan. – JM