Polis Padang Besar rampas 1,456 kilogram daun ketum, empat lelaki ditahan

Oleh Sholina Osman
1 JULAI 2024

Awas penyeludup ketum, sekalipun memilih jalan tikus bagi melakukan aktiviti jenayah ini tetapi setiap tindak-tanduk tetap boleh dikesan oleh pihak berkuasa.

Terbaharu Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah menerusi kenyataan media berkata, pihaknya berjaya merampas daun ketum seberat 1,456 kilogram bernilai RM60,240 dalam dua operasi berasingan.

Mohd Shokri berkata, ia juga membawa kepada penangkapan empat lelaki tempatan yang berusia dari 19 hingga 35 tahun yang telahpun ditahan reman bagi membantu siasatan.

Bagi kes pertama, katanya tangkapan telah dilakukan ke atas seorang warga tempatan berusia 23 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar pada pukul lebih kurang 12.30 tengah malam, 29 Julai lalu.

Mohd Shokri berkata, ini berikutan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar yang diketuai seorang pegawai bersama enam anggota telah menjalankan operasi bagi membanteras penyeludupan daun ketum.

DIPERCAYAI DAUN KETUM

“Sebanyak 17 guni putih berisi daun-daun hijau yang dipercayai daun ketum yang kesemuanya seberat kira-kira
646 kilogram bernilai RM25,840 telah ditemui di kawasan kebun kelapa di bahagian belakang rumah suspek,” katanya.

Mohd Shokri berkata, dipercayai daun ketum tersebut dibawa untuk diseludup keluar oleh suspek dengan menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia/Thailand.

“Rumah terbiar berkenaan pula digunakan oleh suspek sebagai tempat pengumpulan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.

Mohd Shokri berkata, suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah ini telah direman selama tiga hari mulai 29 Jun.

Mohd Shokri berkata, bagi kes kedua pula ia membabitkan penangkapan tiga warga tempatan yang membawa kepada rampasan 810 kilogram daun ketum bernilai RM34,400.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 2 Polis Gerak Am (PGA) Kulim, Kedah yang diketuai seorang pegawai dan 10 anggota telah menjalankan operasi penyeludupan daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 9 pagi, 29 Jun lalu.

MEMINTAS SEBUAH MOTOSIKAL

“Hasil makluman risikan, pasukan itu berjaya memintas sebuah motosikal jenis Suzuki Smash yang bernombor pendaftaran Thailand dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di kawasan Bukit Kerengga, Mukim Chuping, Padang Besar.

Berikutan itu kata Mohd Shokri seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang menunggang motosikal dan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 19 tahun dalam kenderaan empat pacuan roda telah berjaya ditahan.

Katanya, pasukan berkenaan telah menemui 27 guni putih berisi daun hijau yang disyaki daun ketum telah diletakkan pada bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

Beliau berkata, daun ketum itu cuba diseludup keluar dengan menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand.

DUA REKOD LAMPAU

Katanya, penunggang motosikal berkenaan didapati mempunyai dua rekod lampau sementara salah seorang dari suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda pula mempunyai satu kes berkaitan dadah.

Beliau berkata, ketiga suspek ditahan reman selama tiga hari mulai 30 Jun.

Mohd Shukri berkata, kesemua keempat suspek bagi kedua kes ini ditahan reman ini bagi membolehkan dijalankan siasatan berhubung Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya, ia boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau keduanya sekali jika disabitkan dengan kesalahan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *