Perlis boleh diangkat menjadi Hab Perpaduan Zon Utara

Oleh Sholina Osman
1 JULAI 2024

Perlis boleh diangkat menjadi Hab Perpaduan untuk Zon Utara setelah siapnya pembinaan Kompleks Perpaduan pertama di negara ini yang bernilai RM16.8 juta.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pembinaan projek ini telah diluluskan kerajaan pada Rancangan Malaysia Ke-12, tahun 2021.

Beliau berkata, pembinaannya yang dilaksanakan di kawasan seluas 7.06 ekar di Mukim Seriab telahpun bermula pada 6 Februari 2024 dan dijangka siap pada 15 Disember 2025.

KOMPLEKS PERPADUAN PERTAMA

Beliau berkata, Kompleks Perpaduan yang pertama ini boleh menempatkan ruang Jentera Perpaduan secara bersepadu dan akan menjadi contoh bagi kompleks perpaduan yang dirancang pembinaannya di seluruh negara kelak.

“Ia bakal menempatkan Pejabat Perpaduan Perlis, Dewan Serbaguna, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Perpaduan, Bilik Operasi Pusat Rukun Tetangga, Bilik Operasi Mediator Komuniti dan lain-lain kemudahan awam,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Negeri Perlis di Laman Putra Brasmana di Kuala Perlis, Perlis, petang semalam.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis berkenaan.

Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

PINTU GERBANG KRT

Aaron Ago berkata, Kementerian juga menyokong penuh usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis bagi mewujudkan Pintu Gerbang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh KRT Negeri Perlis.
 
“Pintu Gerbang KRT Negeri Perlis akan menjadi mercu tanda sebagai pengenalan kepada kewujudan KRT di kawasan,” katanya.

Selain itu katanya, ini juga akan menjadi sebahagian promosi kepada Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang mengetengahkan kehidupan komuniti setempat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *