Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko di Kuala Lumpur ditubuh secara rasmi

Oleh Sholina Osman
26 JUN 2024

Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko di Kuala Lumpur yang pertama pada 25 Jun 2024 telah menandakan bahawa kini ia ditubuhkan secara rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang mempengerusikan mesyuarat ini berkata, penubuhan mesyuarat ini berikutan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur Mei lalu di mana ia bertujuan mewujudkan kolaborasi dalam penyelidikan, pengetahuan, teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di Bandar Raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku peneraju, mesyuarat ini turut melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk para akademik daripada Universiti Putra Malaysia, Institut of Lanscape Architecs Malaysia (ILAM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), badan profesional seperti Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi Kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur.

AKTIVIS ALAM SEKITAR

“Keanggotaan juga akan turut diperluaskan kepada beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) aktivis alam sekitar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zaliha berkata, perkongsian ilmu dan maklumat dari keanggotaan ini akhirnya diharapkan dapat menghasilkan satu garis panduan yang lebih komprehensif serta mengambil amalan terbaik (best practice) dari negara-negara lain dalam penyelenggaraan dan pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur.

Katanya, ia juga diharap dapat membantu dalam perkongsian data bagi menambah baik sistem pemetaan e-pokok sedia ada di DBKL dalam merekodkan data inventori pokok, daftar pokok berusia, penanaman pokok baru dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok.

“Kini telah pun merekodkan sebanyak 236,551 batang pokok-pokok yang ditanam diseluruh Kuala Lumpur,” katanya.

KONSEP “PENGANGKATAN POKOK”

Beliau berkata, antara perbincangan task force ini juga meneroka konsep “pengangkatan pokok” dan potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau.

Beliau berkata, ia bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan whole-of-nation bagi meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Task force ini juga perlu meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman 1 Juta Pokok di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu katanya, perhatian juga diberikan kepada faktor- faktor lain seperti spesis pokok, ruang penanaman pokok, kedalaman akar dan yang lainnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *