Program Mata Hati Wilayah 2024 dilancar tangani masalah mata murid sekolah

Oleh Sholina Osman
27 JUN 2024

Program Mata Hati Wilayah 2024 telah dilancarkan sebagai usaha bagi menangani masalah kesihatan mata di kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui flagship Sihat @ PUJI dan Ilmu @ PUJI.

Beliau berkata, kajian yang dilaksanakan melalui program Amblyopia & Visual Impairment Screening (AVIS) mendapati 30 peratus kanak-kanak pra sekolah di Malaysia mengalami masalah penglihatan.

“Kajian tersebut turut mendapati bahawa kanak-kanak tersebut tidak mengetahui bahawa mereka sedang mempunyai masalah kesihatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MANIFESTASI KOMITMEN PUJI

Zaliha berkata, Program Mata Hati Wilayah merupakan manifestasi komitmen PUJI untuk menyediakan ekosistem “exit strategy” kepada kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, isu kesihatan mata penting untuk ditangani dari sekarang bagi memastikan murid-murid sekolah mendapat peluang yang baik untuk pelajaran dan mengubah nasib keluarga mereka.

Zaliha berkata, seramai 3,000 orang murid Tahap 1 di lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, SK Desa Tasik, SK Setiawangsa, SK Wangsa Maju Seksyen 1 dan SK La Salle akan menjalani saringan kesihatan mata secara percuma.

CERMIN MATA PERCUMA

Katanya, cermin mata percuma juga diberikan kepada 500 murid dari lima buah sekolah berkenaan.

Beliau berharap ia akan memberi kesan jangka pendek, sederhana dan panjang yang signifikan.

“Untuk memastikan keberkesanan program ini, pemantauan terhadap progres akademik dan self esteem murid tersebut akan dilaksanakan secara berterusan selama enam bulan sehingga Disember 2024 oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan guru-guru sekolah yang terlibat,” katanya.

Zaliha berkata, program ini adalah hasil kerjasama di antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yayasan Komuniti Negara, UiTM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *