Oleh Sholina Osman
25 JUN 2024
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dijangkakan menjelang tahun 2025, sumbangan ekonomi digital di negara ini bakal meningkat kepada 25.5 peratus berbanding 23 peratus buat masa ini.
Beliau berkata, ini berdasarkan kepada ekonomi digital yang kini sedang berkembang pesat.
“Sekaligus ia mempunyai potensi besar untuk membantu melonjakkan Malaysia di persada ekonomi dunia, sekali gus menjana pendapatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Aplikasi E-Dompet “MYDINPay” di MYDIN USJ, Selangor, petang ini.
Gobind berkata, pelancaran aplikasi ini amat signifikan dengan perubahan gaya hidup masyarakat pada masa kini yang sedang beralih kepada penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan mereka.
PENERAJU PERUNCITAN TERNAMA
Beliau berkata, MYDIN cukup dikenali sebagai antara peneraju peruncitan ternama di negara serta dilihat amat aktif dan kreatif menggunakan platform digital bagi mempromosikan produk serta jenama mereka.
“Saya dimaklumkan bahawa MYDIN kerap berkolaborasi bersama pengendali laman e-dagang dan e-dompet bagi memasarkan produk mereka secara digital, bagi membolehkan pengguna mendapat akses kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan MYDIN tanpa mereka perlu ke cawangan MYDIN secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata, dengan peningkatan e-dagang, perbankan mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh, e-dompet telah muncul sebagai cara yang mudah dan selamat untuk mengurus transaksi wang.
Katanya, apa yang lebih menarik lagi, para pengguna bakal menikmati pelbagai ganjaran, diskaun promosi serta rebat tunai yang ditawarkan khusus buat para pengguna MYDINPay.
Beliau berkata, hasil kolaborasi MYDIN bersama WavPay, pengenalan aplikasi MYDINPAY ini bakal mencipta pengalaman beli-belah tanpa pembayaran tunai yang lebih lancar buat para pengguna, sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk mendigitalkan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Gobind menyeru pemain industri yang lain untuk mencontohi langkah MYDIN yang mengadaptasi dan bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi semasa, serta menjadi penyuntik kepada perkembangan ekonomi digital negara. – JM