Malaysia berjaya ke Tahap 2 Pemerdagangan Orang 2024 lapor JNAS

Oleh Sholina Osman
25 JUN 2024

Malaysia telah berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 yang diumumkan pada 24 Jun di Washington DC.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan media hari ini menyambut baik dengan peningkatan positif ini.

Ia signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) pada tahun 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.

Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan
orang di Malaysia.

Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.

16 PERKARA PENAMBAHBAIKAN

Laporan ini juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

Selain itu, laporan ini juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah.

Tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan.

MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG

Dalam hubungan ini, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama- sama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.

Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.

Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara.

Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *