KPKM laksana Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan

Oleh Sholina Osman
23 JUN 2024

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 19 Jun lalu yang berkaitan kelulusan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi pelaksanaan program Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan dalam tempoh 21 hingga 23 Jun 2024.

Pelaksanaan program OPA yang melibatkan kerjasama strategik antara agensi melibatkan KPKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini disertai oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Kenyataan media KPKM hari ini menyebut, pelaksanaan OPA ini bermatlamat untuk meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan yang menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Operasi ini dijangka akan menambahbaik sistem pengairan di kawasan Kemubu yang mengalami kemarau panjang.

Ianya secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan aktiviti penanaman padi di kawasan padi.

ISU BEKALAN AIR

OPA ini merupakan tindakan interim daripada KPKM untuk menangani isu bekalan air untuk penanaman padi.

Sebelum ini, pelbagai insentif telah diberikan kepada pesawah meliputi bantuan pam seperti pam mudah alih l, “booster pump”, “backworm pump”, pembinaan “tubewell” dan sebagainya.

Sebagai tambahan, KADA turut menerima peruntukan RM25 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi perolehan pam mudah alih bersaiz besar yang boleh beroperasi pada paras air yang rendah.

Dalam masa yang sama, Rumah Pam Kemubu 3, kini sedang rancak dibina bagi tujuan penyelesaian isu sumber bekalan air dalam tempoh panjang.

Hadir sama operasi ini adalah Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Arip, Komander Pangkalan Tentera Subang TUDM, Brigeder Jeneral Yusri Jamari serta pengawai kanan KPKM, NADMA, TUDM, METMalaysia dan KADA. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *