Permohonan SKDS dilulus serta-merta – Armizan

Oleh Sholina Osman
23 JUN 2024

Permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan diluluskan serta-merta.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berharap syarikat yang tersenarai dan berkelayakan adalah disarankan segera membuat permohonan.

Beliau berkata, proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Armizan berkata, setakat pukul 8.00 pagi, 23 Jun 2024, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

Beliau berkata, kementerian juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

BAYARAN TUNTUTAN BALIK

Katanya, selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun lalu, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai 2024 untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun 2024 sahaja.

“Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat,” katanya.

Pada masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam dan Kos Sara Hiduo (KPDN) mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalahgunakan fleet card yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

Sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit.

KEMUDAHAN SUBSIDI DIESEL

Kementerian juga ingin menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan, maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Pada masa yang sama, KPDN turut menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh peniaga-peniaga yang beretika serta tidak melakukan aktiviti pencatutan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya selari dengan penetapan harga baru diesel di pasaran. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *