Pelaksanaan Kem GenMADANI relevan, tepat dengan aspirasi kerajaan – Fadhlina

Oleh Sholina Osman
21 JUN 2024

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan Kem GenMADANI amat relevan dan bertepatan dengan aspirasi Kerajaan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja tinggi intelektual malah mempunyai karakter yang melengkapi aspirasi gagasan MADANI, iaitu mampan, sejahtera, daya cipta, hormat, yakin dan ihsan.

Beliau berkata, inisiatif ini amat bermakna dalam konteks pembentukan dan pembangunan karakter anak bangsa hari ini serta pembinaan generasi madani pada masa hadapan.

Fadhlina berkata, melalui penyertaan Kem GenMADANI yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini, para peserta akan melalui pelbagai pengalaman baharu dan proses sosialisasi merentas bangsa, agama dan budaya.

MEMBINA ANAK BANGSA

“Ia dilihat dapat dijadikan wadah membina anak bangsa menerusi program-programnya yang dapat memupuk nilai murni dan perpaduan dalam masyarakat, membentuk identiti bangsa, serta seterusnya menyemarakkan semangat patriotisme, kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kem GenMADANI Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (KVSMT) Peringkat Kebangsaan di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.

Fadhlina berkata, pendidikan yang berfokuskan pembangunan karakter bukan sahaja dapat membentuk individu yang berjaya di sekolah, tetapi juga mencipta asas kukuh untuk seseorang mencapai kejayaan dalam kehidupan.

SALING MENGHORMATI PERBEZAAN

Beliau menambah, nilai kepimpinan, perpaduan, ketekunan, patriotisme, integriti, disiplin, kerjasama dan saling menghormati perbezaan yang diterapkan sepanjang pelaksanaan program ini diharapkan dapat menyerlahkan karakter warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan memahami peranannya kepada negara

Justeru itu katanya, besarlah harapan beliau agar anak-anak dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari semasa mengikuti kem ini sebagai bekalan masa hadapan.

“Pada masa yang sama, bimbinglah rakan-rakan yang tidak berkesempatan menyertai kem ini untuk sama-sama meniti kejayaan,” katanya.

Fadhlina juga mengingatkan bahawa, kejayaan bukan hanya tertumpu kepada keunggulan intelek semata-mata, tetapi merangkumi pelbagai aspek lahiriah yang merupakan aspirasi Generasi Madani, generasi yang unggul intelek dan sahsiahnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *