Oleh Sholina Osman
25 JUN 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati setakat ini tiada pihak yang dikesan menjual harga telur ayam melebihi harga baharu yang telah ditetapkan sejak 17 Jun lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, ini hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 1,828 premis borong dan runcit selama 7 hari sejak penurunan harga telur ayam di pasaran.
Walau bagaimanapun katanya, KPDN telah mengambil tindakan ke atas enam peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu dan dua kes kerana tidak meletakkan tanda harga.
“Seramai 2,200 anggota Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara telah digerakkan ke lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk memastikan peniaga menjual telur ayam pada harga siling baharu yang telah ditetapkan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
HARGA RUNCIT TELUR
Mulai 17 Jun 2024, Kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras dengan penurunan kos input dalam industri tersebut.
Penurunan harga ini, melibatkan keseluruhan rantaian telur iaitu pengeluar, borong dan runcit.
Harga semasa runcit yang terkini bagi telur ayam untuk semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
(i) Gred A – RM 0.42/biji
(ii) Gred B – RM 0.40/biji
(iii) Gred C- RM 0.38/biji
Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan.
KPDN merakamkan penghargaan kepada majoriti peniaga yang mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan Kementerian serta menjalankan perniagaan secara beretika.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak KPDN melalui saluran berikut:
(i) WhatsApp 019-848 8000;
(ii) Portal e-Aduan KPDN iaitu eaduan.kpdn.gov.my;
(iii) Pusat Panggilan 1-800-886-800;
(iv) E-mel e-aduan@kpdn.gov.my;
(v) Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;
(vi) Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245;. – JM