Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
21 Jun 2024
PMX terus fokus memacu ekonomi negara dengan merapatkan lagi kerjasama pintar serta hubungan dengan negara-negara besar dan ternama.
Terbaru , lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik kedua-dua negara telah mencatat banyak perkembangan positif yang membanggakan.
Antaranya melanjutkan tempoh pengecualian visa sehingga 2026, setuju menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman dan tentunya hubungan dagang bertambah kukuh.
China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) iaitu mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Sudah tentu dengan kunjungan Li Qiang ini, kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam pelbagai sektor semakin berkembang lagi.
BERTUKAR BUKU DAN SETEM KHAS
Pelbagai acara diatur untuk meraikan kehadiran Li Qiang, antaranya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar-tukar buku dan setem khas bagi memperingati ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara, selain Anwar juga menyerahkan syiling peringatan kepada Perdana Menteri China itu.
Ketika menyampaikan ucapannya, Anwar menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat rakan diplomatik dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.
“Saya percaya menjadi kepentingan strategik buat Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya,” ujar beliau.
Selain itu, Anwar memberi jaminan Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan China bagi mencipta era baru hubungan antara kedua-dua negara yang telah erat terjalin sejak sekian lama.
Seterusnya, sebagai menekankan peri penting hubungan akrab kedua-dua negara, majlis makan tengahari bersama Premier China Li Qiang serta komuniti perniagaan Malaysia-China turut diadakan di sebuah hotel di ibu negara.
Ia adalah tanda bahawa Malaysia mahu meningkatkan lagi hubungan dagang dengan China bagi memantapkan kekuatan ekonominya.
Malah Anwar memberi penghargaan setingginya kepada komuniti perniagaan China dan juga Malaysia dalam bekerjasama erat selama ini di pelbagai bidang yang sekaligus menambah makna lagi kepada memaknai hubungan persahabatan kedua-dua negara.
KONGSI PENGALAMAN
DENGAN LAI QIANG
Beliau juga berkongsi pengalaman berurusan dengan Li Qiang selama seharian semalam di mana pengalaman itu ternyata tidak seperti yang cuba digambar dan dipropagandakan di mana-mana di luar sana.
“Perbincangan kami menyentuh banyak hal dan tidak terhad hanya pada urusan perdagangan dan perniagaan semata-mata, tetapi saya merasakan wujudnya sikap hormat, kemesraan serta persefahaman yang utuh terhadap budaya dan jurang perbedaan.
“Tentunya ada isu yang bertentangan, namun ia ditekuni dalam suasana persahabatan yang erat dan saling memahami pandangan, pendapat dan pendirian tegas kedua-dua negara.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang neutral mampu dan punyai keupayaan untuk bekerjasama dengan mana-mana negara, termasuk China, dengan baik selain memastikan perhubungan itu bermakna dan memberi keuntungan serta manfaat kepada rakyat,” tambah Anwar lagi.
Dengan keakraban yang terpamer antara Anwar dan Li Qiang ini, hubungqn Malaysia dan China bukan sahaja dirasakan bertambah kukuh, bahkan banyak manfaat ekonomi yang lebih besar bakal hadir sama.
Sebagai rumusan lawatan PM China itu sebanyak 11 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara entiti Malaysia dan China dengan jumlah potensi perlaburan sejumlah RM13.2 bilion diadakan sempena lawatan bersejarah tersebut.
Kesan daripada hubungan ini
akhirnya, kita rakyatlah yang akan mendapat maafaatnya.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat