Program Jualan RAHMAH MADANI catat lebih 3.4 juta pengunjung – Fuziah

Oleh Sholina Osman
20 JUN 2024

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJR)
di seluruh negara telah merekodkan kehadiran melebihi 3.4 juta pengunjung pada tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan kepada statistik mulai 15 Januari 2024 hingga 16 Jun 2024, PJR telah dilaksanakan di 4,156 lokasi di seluruh negara.

“Pecahan mengikut model iaitu di dalam premis sebanyak 1,702, di luar premis sebanyak 320 lokasi dan secara bergerak sebanyak 2,134 lokasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fuziah telah melancarkan Program Bijak Belanja Pengguna dan PJR Peringkat Pulau Pinang Tahun 2024 di Pasaraya C-Mart, Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang hari ini.

Fuziah berkata, pelaksanaan Program Bijak Belanja Pengguna adalah untuk menengahkan isu-isu kepenggunaan secara interaktif.

DIADAKAN PROGRAM ADVOKASI

Selain itu katanya juga diadakan program advokasi berkenaan hak-hak dan perlindungan pengguna seperti penipuan dalam media sosial, phishing, penyalahgunaan rangkaian dan teknologi serta penipuan/pemalsuan perihal dagangan atas talian.

Justeru itu katanya, program ini selari dengan matlamat Kementerian dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan yang responsif dengan tuntutan semasa dan cabaran mendatang.

Beliau berkata, PJR pula menyantuni isu kos sara hidup rakyat dengan penawaran penjimatan sebanyak 10 peratus sehingga 30 peratus dari harga pasaran semasa khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Antara barangan yang dijual sepanjang PJR ini adalah barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, telur, gula, kopi, sardin, kicap dan pelbagai keperluan lain,” katanya.

BAKUL RAHMAH MADANI

Pada majlis ini juga diadakan sumbangan Bakul RAHMAH MADANI kepada 30 penerima bantuan serta penyampaian hadiah kepada pemenang Cabaran Bijak Belanja.

Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga turut mengambil peluang dalam menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberikan sumbangan sejumlah RM5,000.00 kepada beberapa buah masjid dan badan pertubuhan kebajikan.

Manakala pihak Kementerian melalui KPDN Negeri Pulau Pinang akan terus komited untuk memperkasakan hak-hak pengguna dan isu-isu kepenggunaan disamping memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

KPDN juga menyeru agar lebih ramai lagi pemain-pemain industri khususnya pasar raya besar di negeri ini agar dapat bersama-sama menjayakan aspirasi Malaysia MADANI dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *