MITI ketuai Malaysia ke Ekspo Dunia 2025 di Osaka

Oleh Sholina Osman
20 JUN 2024

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengetuai Malaysia ke Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Kansai, Jepun.

Penyertaan Malaysia ini telah diumumkan dan diluncurkan secara rasmi hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan kehadiran Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam siaran media MITI, sebelum ini Malaysia telah menyertai Ekspo Dunia Dubai dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 yang melibatkan lebih daripada 400 syarikat Malaysia.

Malaysia berjaya menjana hampir 5,000 peluang perniagaan dan merealisasikan RM8.3 bilion dari segi nilai perdagangan dan pelaburan.

MITI bertekad untuk meningkatkan pencapaian tersebut melalui Pavilion Malaysia di ekspo yang akan datang.

Tema utama untuk Ekspo Dunia Osaka adalah “Designing Future Society for Our Lives”.

Disokong oleh tiga subtema – “Saving Lives”, “Empowering Lives” and “Connecting Lives” – Malaysia akan mempamerkan kaitan antara elemen-elemen ini dalam mencapai masa depan yang lebih lestari.

KONSEP DAN TEMA

Melengkapi konsep dan tema keseluruhan Ekspo Dunia dengan sentuhan unik Malaysia, tema nasional “Weaving a Future in Harmony” akan membawa pengunjung untuk merasai bagaimana kepelbagaian budaya, ekonomi, dan alam sekitar negara kita wujud dan berkembang bersama.

Reka bentuk ‘tenunan’ ini melambangkan sinergi yang halus namun kuat untuk bersama-sama mencipta ‘kain tenun’ yang indah, mempamerkan masyarakat Malaysia yang inklusif, kaya budaya, berdaya dan lestari.

Platform berprestij ini juga menyediakan peluang unik untuk Malaysia berkongsi pengalaman dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang telah menyokong kemajuan dan pembangunan sosio-ekonomi negara kita selama lebih 66 tahun, yang kini berteraskan Kerangka Malaysia MADANI.

Tengku Zafrul Aziz berkata, dengan penyertaan ini MITI berhasrat untuk memanfaatkan platform strategik ini bagi menarik pelaburan berkualiti dan teknologi tinggi ke Malaysia serta untuk memperluas pasaran sedia ada dan meneroka pasaran baharu.

MEMUDAH CARA PERBINCANGAN

Katanya, Kerajaan juga akan memudah cara perbincangan perniagaan melalui Pavilion Malaysia dengan menyediakan ruang dan pelbagai sokongan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan Malaysia, serta membina perkongsian strategik.

“MITI juga mengetuai kerjasama antara pelbagai Kementerian, agensi, perniagaan, dan pihak berkepentingan utama lain untuk menonjolkan kemajuan dan aspirasi Malaysia dalam pelbagai sektor utama, termasuk reformasi industri, pertanian lestari, tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hijau, kehidupan pintar, pengurusan alam sekitar yang lestari, dan industri Halal,” katanya.

“Sektor-sektor yang difokuskan ini adalah sejajar dengan sektor-sektor strategik untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, menjadikan Pavilion ini tempat yang ideal bagi perniagaan Malaysia untuk meneroka pasaran baru,” tambah Tengku Zafrul.

Malaysia telah menyertai acara bertaraf dunia ini sejak tahun 1970 di mana Ekspo Dunia pertama kali berlangsung di London pada tahun 1851. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *