MCMC, Microsoft Malaysia meterai MoU teroka AI persiap tenaga kerja

Oleh Sholina Osman
20 JUN 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan Microsoft Malaysia menerusi
memorandum persefahaman (MoU), serta pelancaran program pembangunan
kapasiti dalam Kecerdasan Buatan (AI) iaitu MCMC – Microsoft AI TEACH.

Kerjasama tersebut dimeterai antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyaksikan MoU tersebut juga melancarkan program MCMC – Microsoft AI TEACH di ibu negara.

Dalam siaran media Komunikasi Korporat MCMC menyebut, dengan MoU berkenaan, MCMC dan Microsoft Malaysia akan bekerjasama untuk meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital.

MERINTIS PENGGUNAAN AI

Selain itu, kerjasama ini juga akan menyaksikan penerimagunaan perisian Microsoft oleh pihak MCMC bagi merintis penggunaan AI, serta pendekatan kepada penerimagunaan AI yang bertanggungjawab.

Mohamad Salim menyifatkan kerjasama strategik dengan Microsoft Malaysia dalam bidang AI sebagai langkah yang tepat pada masanya.

Menurutnya, teknologi AI mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan, serta meluaskan ekonomi negara pada masa akan datang.

1,600 AHLI KOMUNITI

Melalui program MCMC – Microsoft AI TEACH, seramai 1,600 ahli komuniti
berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya golongan rentan
akan menerima latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI.

Program itu akan membantu meningkatkan kebolehpasaran 1,000 orang peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Peserta juga akan mengikuti kelas secara fizikal selama dua hari sebelum penganugerahan sijil.

Program MCMC – Microsoft AI TEACH akan memberi tumpuan
kepada empat modul utama iaitu Pengenalan kepada AI, Pengenalan kepada AI Janaan, Penggunaan AI untuk Meningkatkan Kebolehpasaran dan Penggunaan Beretika untuk AI. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *