Kastam Perlis bongkar sorok plastik minyak diesel bawah kaki pemandu, penumpang

Oleh Sholina Osman
20 JUN 2024

Seorang wanita warganegara Thailand yang sanggup memandu dengan bahagian bawah kakinya dipenuhi dengan plastik berisi minyak diesel supaya dapat diseludup masuk ke negaranya telah ditahan pada 4 Jun lalu.

Tidak cukup dengan itu, ke semua pada bahagian kaki penumpang di depan dan belakang dipenuhi dengan plastik berisi minyak diesel pada pikup Hilux yang dipandu wanita berusia 31 tahun ini.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim pada sidang media di Setor Penguatkuasaan Padang Besar hari ini di mana sejumlah 49 liter minyak diesel bernilai RM105.35 telah dirampas dari pikup Hilux (Thailand) yang dipandu wanita berkenaan.

Beliau berkata, wanita berkenaan antara empat warga Thailand yang ditahan secara berasingan dalam cubaan menyeludup sejumlah 811 liter diesel bernilai RM1,781.41 ketika melalui Laluan Eksport, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis.

DALAM TONG PLASTIK

Katanya, antara ditahan pada 29 Mei lalu adalah lelaki Thailand berusia 32 tahun yang membawa 32 liter diesel bernilai RM106.56 yang diisi dalam tong plastik dalam Totoya Commuter (Thailand) yang dipandunya.

Selain itu katanya, seorang lelaki Thailand berusia 31 tahun ditahan pada 30 Mei lalu apabila membawa 600 liter diesel bernilai RM1,290.00 dalam tangki yang diubahsuai pada lori treler (Thailand).

Seorang lagi kata Ismail membabitkan penahanan seorang wanita Thailand berusia 49 tahun yang memandu Mercedes Benz (Malaysia) pada 1 Jun lalu setelah dirampas 130 liter minyak diesel bernilai RM279.50.

Ismail berkata, tangkapan kes ini adalah hasil Operasi Khas Bersepadu Diesel Bersubsidi 2024 mulai 27 Mei sehingga 10 Jun iaitu selepas pengumuman Menteri Kewangan II berkaitan pelarasan harga diesel mengikut harga pasaran mulai 10 Jun lalu.

KERJASAMA AGENSI PENGUATKUASAAN

Katanya, operasi bersepadu ini diketuai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di Perlis iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pasukan Gerak Am (PGA).

Beliau berkata, operasi bersepadu itu bagi menghalang sebarang cubaan penyeludupan diesel bersubsidi secara besar-besaran berikutan hasrat Kerajaan melaksanakan subsidi bersasar diesel.

Ismail berkata, operasi ini juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak petrol sebanyak 205 liter menerusi empat kes tangkapan yang dianggarkan bernilai RM420.25.

Beliau berkata, kesemua kenderaan tersebut ditahan ketika melalui Laluan Eksport, Kompleks ICQS Padang Besar, Perlis.

Katanya, ia melibatkan empat
warganegara Thailand iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan yang merupakan pemandu kenderaan tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *