Oleh Sholina Osman
18 JUN 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor kerana menjual gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan.
Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, tindakan itu dilaksanakan susulan sebuah video yang tular berkaitan penjualan gas LPG.
Beliau berkata, hasil siasatan awal ke atas video itu, KPDN telah berjaya mengenalpasti alamat premis dan lokasi lori yang telah membuat penghantaran LPG tersebut iaitu di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor.
“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, sepasukan anggota penguat melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi
mengenalpasti harga jualan sebenar LPG itu,” katanya dalam kenyataan media.
Azman berkata, hasil daripada uji beli yang telah dilakukan mendapati, LPG berkapasiti 14kg telah dijual pada harga jualan RM34.00/tong berbanding harga kawalan yang telah ditetapkan Kerajaan iaitu RM26.60/tong bagi LPG berkapasiti 14kg.
MELEBIHI HARGA KAWALAN
Beliau berkata, alasan diberikan oleh peniaga terbabit menjual melebihi harga kawalan adalah susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh Kerajaan bermula 10 Jun 2024.
“Pasukan serbuan telah bertindak, dengan melakukan sitaan ke atas LPG terbabit selain beberapa dokumen perniagaan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu LPG 14kg melebihi harga kawalan,” katanya.
Selain itu katanya, satu Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] juga telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit untuk mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh 5 hari bekerja kepada pihak KPDN susulan tindakan peniaga terbabit memberikan alasan pelarasan subsidi harga minyak diesel menjadi punca kenaikan harga LPG berkenaan.
KPDN telah melaksanakan OPS KESAN 2.0 bagi menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan mematuhi sepenuhnya perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Berdasarkan statistik OPS KESAN 2.0 bermula 20 Mei 2024 sehingga 17 Jun 2024 sebanyak 993 premis telah diperiksa di seluruh negara.
209 NOTIS BERTULIS
Daripada jumlah itu, sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.
KPDN ingin memberikan amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
Tindakan pantas dapat diambil oleh KPDN ke atas mana-mana aduan yang tular di media sosial sekiranya pengguna dapat menyalurkan maklumat yang lengkap dan segera kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan khas di talian 012-6654292.
Selain talian khas tersebut, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – JM