Skuad Waja Pulau Pinang anjur Program Pengurusan Emosi Wanita Waja

Oleh Sholina Osman
13 JUN 2024

Pengurusan emosi amat penting dalam kehidupan.

Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kalangan wanita masa kini yang banyak menggalas tanggungjawab iaitu sebagai isteri, ibu dan juga pekerja.

Bebanan tanggungjawab ini dilihat jika gagal diuruskan dengan baik maka akan mencetuskan stress sekaligus mengundang kepada masalah kesihatan mental yang kronik.

Berikutan itu Skuad Waja Pulau Pinang tampil menganjurkan Program Sumbang Bakti Skuad Waja yang bertemakan “Pengurusan Emosi Wanita Waja” baru-baru ini.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang (PPWNPP).

KEMAHIRAN PENGURUSAN EMOSI

Pengerusi Program Sumbang Bakti Skuad Waja Pulau Pinang, Datin Dr. Hazariah Abu Hassan berkata, program ini diadakan untuk memberikan kemahiran pengurusan emosi kepada wanita serta menyalurkan maklumat saluran bantuan berkaitan isu kesihatan mental yang mengambil kira permasalahan dalam komuniti.

Beliau berkata, wanita selain dari menjadi ibu, ketua keluarga, ketua masyarakat, penggerak komuniti dan pemimpin global memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial.

Sementara itu seramai 80 wanita yang terdiri daripada orang awam, kakitangan agensi dan sukarelawan menyertai program ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah PPWNPP, Ahmad Shukri Jamaluddin.

Hadir sama Timbalan Pengarahnya, Raja Nur Afiqah Raja Zulkifli.

SENAMROBIK SIHAT CERIA

Antara pengisian program termasuklah Senamrobik Sihat Ceria, Ceramah “Kembara Kaunseling Pengurusan Emosi” oleh Nathir Mehamad, Kaunselor Berdaftar, Lembaga Kaunselor Malaysia, Ceramah “Pospartum Depression” – Meroyan: Khayalan atau Kenyataan” oleh Prof. Dr. Mohd Jamil Yaacob, Konsultan Psikitrik, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang,

Ceramah “Lets Talk Mental Health” – Kesan Stres Terhadap Kesihatan” oleh Datin Dr. Hazariah Abu Hassan, Doktor Perubatan Poliklinik Anda Seberang Jaya & Pengerusi, Program Sumbang Bakti Skuad Waja Pulau Pinang dan Ceramah “Bersinar Bak Permata (Shine Bright Like A Diamond) oleh Asmar Ahmad, Pegawai Psikologi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pulau Pinang.

Moga dengan penganjuran program seperti ini pasukan Skuad Waja Pulau Pinang dapat membantu mereka yang terlibat menangani permasalahan psikososial dalam masyarakat kerana emosi dan pengurusan stress merupakan noktah dalam pelbagai segmen kehidupan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *