Oleh Sholina Osman
13 JUN 2024
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menawarkan pengajian kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dengan lima kepujian.
Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, program asasi yang ditawarkan selama setahun atau tiga semester ini menggunakan Bahasa pengantar dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.
Katanya, selepas setahun pengajian mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang pengajian Islam dan yang berkaitan.
UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN
“Program yang mengukuhkan mereka dengan ilmu Bahasa Arab dan Pengajian Islam sebagai satu keperluan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda nanti,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Muhamad Rozaimi menambah selepas asasi mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian Sarjana Muda dalam Pengajian Islam, Syariah (ekonomi), Hadith, Bahasa Al-Quran dan Sunnah, Al-Quran, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengurusan Muamalat, Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Perniagaan Antarabangsa, Pentadbiran Perniagaan, Perakaunan, Sains Komputer (Sains Data) dan Pentadbiran Perniagaan.
Program Asasi Muamalah dan Asasi Pengajian Islam yang ditawarkan ini membolehkan mereka menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda KUIPs atau di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain tanpa perlu mengambil diploma.
KUIPs adalah milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan ditubuhkan pada 3 Mac 2013 oleh Kerajaan Persekutuan dan mempunyai empat Fakulti iaitu Pengajian Islam, Fakulti Quran Sunnah, Muammalat dan Kewangan Islam dan Perniagaan dan Sains Pengurusan.
TURUT DITAWARKAN BIASISWA
Sepanjang pengajian disini mereka turut ditawarkan biasiswa untuk sesi Julai dan September ini.
Bagi pelajar yang ingin memohon boleh melayari link https://istudent.kuips.edu.my/register?rid=AGN0041 atau ke sekolah-sekolah di negeri Perlis untuk mendapatkan konsultasi percuma dengan staf KUIPs.
Dalam pada itu Ketua Bahagian Pemasaran KUIPs Nur Syaedah Kamis berkata, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam Diploma juga boleh memohon untuk menyambung pengajian mereka di sini dengan syarat minima tiga kredit.
“Pengajian, penginapan dan elaun sara diri juga diberi kepada mereka yang terpilih melanjutkan pengajian di KUIPs,” katanya. – JM