Oleh Sholina Osman
14 JUN 2024
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dasar dan strategi keterjaminan makanan yang lebih berdaya saing dan lestari dirangka bagi memastikan kestabilan dan kemampanan keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Bil 1/2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sesi mesyuarat ini juga turut memberi tumpuan dalam memperkasakan keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohamad berkata, ianya menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti pelaksanaan Projek Ladang Tenusu Chuping Usahasama FGV, Touch Group dan Baladna serta Cadangan Hala Tuju dan Pembangunan Ekosistem Industri Tanaman Bawang Tempatan menerusi sokongan kewangan untuk pembangunan infrastruktur dan sokongan di sepanjang rantaian pengeluaran bawang.
SATU KAJIAN DILAKSANAKAN
Selain itu katanya, mesyuarat turut bersetuju agar satu kajian dilaksanakan secara bersama oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui universiti dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM).
Beliau berkata, ia penting bagi meneliti dan menilai potensi serta kebolehlaksanaan Penghasilan Daging Kultur, Hasil Daging Kultur Serta Cell-Based Food sebagai sumber alternatif daging di Malaysia.
“Antara kertas makluman yang turut dibincangkan termasuklah berkenaan Pembangunan Indikator Keterjaminan Makanan Malaysia, pelaksanaan
Protokol Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China (RRC) serta pelaksanaan Kajian Blueprint Sekuriti Makanan Negara,” katanya.
Beliau menjelaskan, selain itu selama setahun penganjuran Program Jualan Agro MADANI juga itelah menunjukkan pencapaian yang sangat menggalakkan.
MEMBANTU KELANGSUNGAN HIDUP
“Ia menjadi cerminan kejayaan Kerajaan MADANI dalam membantu kelangsungan hidup rakyat menerusi penjimatan harga jualan antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.
Mohamad berkata, bagi menyokong keterjaminan makanan, kaedah penanaman masa hadapan menerusi Pembangunan Kilang Tanaman amat perlu dalam usaha untuk menyokong pertumbuhan industri berasaskan penggunaan teknologi bernilai tinggi.
Berikutan itu, katanya, penyeragaman dan penyediaan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) yang komprehensif sebagaimana diutarakan dalam mesyuarat ini dapat meningkatkan ekosistem dan produktiviti hasil tanaman negara.
“Selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI, ikhtiar secara bersepadu dan holistik amat mustahak dalam mendokong pelaksanaan inisiatif keterjaminan makanan,” katanya.
Justeru itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara diperkukuhkan, seiring dengan konsep “Food Security is a Shared Responsibility”. – JM