Oleh Sholina Osman
13 JUN 2024
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 59,940 syarikat yang melibatkan 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah diluluskan permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sehingga 12 Jun.
Armizan berkata, permohonan meningkat pada kadar tertinggi adalah pada 10 Jun lalu apabila merekodkan 8,584 syarikat yang melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan memohon SKDS.
Beliau berkata, peningkatannya sebanyak 7,097 (477 peratus) syarikat dan 16,584 (548 peratus) kenderaan berbanding sehari sebelumnya (9 Jun 2024) hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat dengan melibatkan 3,028 kenderaan.
“Permohonan menyertai SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
KEMENTERIAN MENJANGKAKAN PEEMOHONAN
Armizan berkata, kementerian menjangkakan permohonan SKDS dijangka akan terus meningkat sehingga 30 Jun ini.
Beliau berkata, ini selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merintis perluasan BUDI MADANI: SKDS 2.0 pada 7 Mac lalu yang mana pada awalnya hanya terbuka kepada 9 jenis kenderaan pengangkutan barangan.
14 JENIS PENGANGKUTAN
Pada 13 Mei, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat.
Ini termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.
Sehari sebelum pelarasan harga bermula iaitu pada 9 Jun, KPDN menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat yang melibatkan 156,242 kenderaan.
KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my untuk mendapat manfaat subsidi bersasar yang ditawarkan oleh Kerajaan.
Kelulusan serta merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap. – JM