Oleh Sholina Osman
12 JUN 2024
Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 tetapi belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula pada 1 Julai depan.
Dalam kenyataan media Kementerian Kewangan hari ini menyebut, ia boleh dilakukan melalui portal BUDI MADANI https://budimadani.gov.my.
Bagaimanapun setiap pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.
Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun ini.
Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.
Oleh itu, Kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0, tetapi belum mendapat fleet card.
Mekanisme ini merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.
Manakala Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata, Kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.
Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara Kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” kata beliau. – JM