Oleh Sholina Osman
12 JUN 2024
Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengumumkan kesemua premis kedai, gerai, penjaja perniagaan makanan dan minuman dalam kawasannya dilarang menggunakan bekas makanan berasaskan styrofoam dan polisterin yang mula berkuatkuasa 15 Julai depan.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, kegagalan pemilik premis berkenaan yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu kompaun maksimum RM500 atau denda tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam kenyataan media.
LANGKAH JANGKA PANJANG
Affendi berkata, larangan itu sebagai langkah jangka panjang bagi memulihara alam sekitar.
Selain itu, katanya, ia dapat memelihara kesihatan rakyat di negeri ini.
Affendi berkata, bahan pembungkus polisterin dikatakan mengandungi unsur karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan manusia.
“Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser,” katanya.
Tambahnya, satu kajian menunjukkan bahawa bahan stirena dan benzin yang terdapat dalam polisterin boleh membawa kesan buruk kepada manusia termasuk gangguan sistem saraf di samping kesan kepada alam sekitar melalui penipisan lapisan ozon dan ia tidak boleh dikitar semula. – JM